Cross-Cultural Conversations

Observations by a Malaysian studying in Australia

Tuesday, August 31, 2004

Malaysia Tak Boleh!

 

Keputusan yang dicapai oleh kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Athens amat memalukan muka saya. Memang sudah dijangka dari awal lagi, kita tidak akan dapat beroleh kemenangan yang hebat, tetapi saya, yang degil dan penuh dengan perasaan positif, masih menaruh harapan agar Malaysia akan dapat meraih pingat, walaupun satu, walaupun gangsa.

 

Terbukti, perasaan positif saya tak kena tempat, kerana atlit kita bukan sahaja gagal meraih apa-apa pingat, malah mereka gagal dengan penuh aib. Daripada sedikit apa yang saya baca di akhbar (edisi Internet), atlit kita tidak menunjukkan cita-cita dan semangat yang tinggi untuk berjaya.

 

Ini suatu tabiat rakyat Malaysia yang amat susah untuk dikikis. Orang kita tidak begitu kompetitif. Silap, sebenarnya orang kita tidak kompetitif langsung. Walhal peserta dari negara lain datang ke sukan Olimpik (atau mana-mana acara sukan) untuk memenangi pingat emas, atlit Malaysia datang hanya untuk menimba pengalaman.

 

Sudah bertahun-tahun atlit kita ‘menimba pengalaman’ tetapi ternyata mereka belum belajar dari pengalaman, ataupun mereka tidak dapat pun pengalaman yang cuba ditimba.

 

Mungkin juga, rakyat kita, berbeza dengan rakyat negara lain, tidak begitu mementingkan kemenangan. Pingat emas tidak begitu penting bagi kita. Tidak, yang penting ialah kebolehan kita membina roti canai terbesar di dunia, ataupun barisan lemang terpanjang di Asia Tenggara.

 

Ya, sebagai masyarakat yang amat mementingkan makanan dan perkara yang tidak penting, seperti gelaran Datuk dan Datin, adegan cium di panggung wayang, dan Malaysia Book of Records, tidak hairanlah rakyat kita lazimnya tidak begitu mengambil berat sekiranya Malaysia tidak dapat meraih apa apa pingat, sekiranya Malaysia kalah dalam segala acara sukan.

 

Apa yang lebih membimbangkan bukannya kekalahan berturut-turut atlit kita (ini memang sudah menjadi kelaziman), tetapi atlit kita sekarang tidak merasa bersalah ataupun malu di atas kegagalan mereka.

posted by: Tembaga2 at 06:42 | link | comments |

Comments:
 

About me

User: Tembaga2
Busy trying to be lazy

  • Contact me
  • My profile
  • Linkme

Recent comments

Links

 

Counter

visited *loading* times